SARKIS

Tuesday, December 10, 2013

Hentikan cuti belajar bergaji penuh serta HLP bagi kakitangan awam bukan akademik

Polemik cuti belajar bergaji penuh dalam sektor awam tanpa melihat kepentingan secara holistik bagi penyampaian perkhidmatan bukan akademik dilihat tidak membantu dengan pendedahan pembayaran berjumlah RM7.2 bilion kepada konsultan. Ini memperlihatkan kecenderungan parti pemerintah yang digambarkan sebagai tidak mempercayai kakitangan awam bukan akademik untuk memberi sumbangan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Pemberian cuti belajar bergaji penuh kepada kakitangan awam bukan akademik juga dilihat sebagai pembaziran dan tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat Malaysia. Ianya patut dihentikan kerana tiada kajian yang komperehensif dibuat bagi mengenalpasti kejayaan pemberian cuti bergaji penuh ini kepada kakitangan awam bukan akademik. Tiada data atau fakta yang dibentangkan kepada rakyat, siapakah penerima terbanyak keistimewaan cuti belajar bergaji penuh beserta hadiah latihan persekutuan di kalangan penjawat awam bukan akademik. Adakah pemberian ini berserta justifikasi yang kukuh pada nilai penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terbanyak? Pemberian cuti belajar bergaji penuh ini juga, rata-rata dilihat sebagai jalan mudah untuk lari daripada beban kerja, tempat kerja yang bermasalah dan juga mengelakkan diri dari dipindahkan ke tempat kerja yang tidak disukai oleh penjawat awam bukan akademik. Secara purata, penerima Sarjana dan PHD ini melaksanakan tugas-tugas yang sama dibuat oleh rakan pemegang Ijazah Sarjana Muda. Senario ini berbeza dengan penjawat awam akademik yang memerlukan Sarjana dan PHD bagi meningkatkan ilmu untuk disampaikan kepada para pelajar. Hadiah Latihan Persekutuan juga patut dihentikan pemberiannya kepada penerima cuti belajar bergaji penuh penjawat awam bukan akademik. Peluang patut diberikan lebih kepada pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak berkemampuan dari segi wang ringgit. Bayangkan berapa ramai pelajar yang dapat diberikan biasiswa jika kerajaan menghentikan cuti belajar bergaji penuh berserta hadiah latihan persekutuan kepada kakitangan awam bukan akademik. Kakitangan awam bukan akademik harus sedar dan insaf tujuan utama menyertai perkhidmatan awam adalah untuk berjasa kepada negara dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Sekiranya mereka merasakan perlu untuk meningkatkan diri dengan sijil Sarjana atau PHD, silakan guna masa dan wang sendiri tanpa perlu membebankan kerajaan. Ada kalangan penerima cuti belajar bergaji penuh dan HLP ini yang keluar dari perkhidmatan awam untuk bekerja di sektor swasta kerana motif keuntungan diri sendiri dan mengabaikan kepentingan kepada negara selepas tamat pengajian mereka. Oleh itu, diharap kerajaan dapat melihat kembali dasar pemberian cuti belajar bergaji penuh dan HLP ini dihadkan kepada penjawat awam akademik sahaja agar penjawat awam bukan akademik dapat fokus kepada memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.